Selamat Datang, pelawat! [ Daftar | Log MasukSuapan RSS  | 

Comments Off

Cara Iklan Homestay Gagal & Berjaya

| Panduan & Tutorial | 27/07/2015

cara-iklan-homestay-gagal-iklanlahpercuma.com

Ini bukanlah panduan mengiklan homestay seperti artikel sebelum ini. Ini adalah:

  • contoh iklan homestay salah
  • contoh iklan homestay betul
  • cara iklan homestay gagal
  • cara iklan homestay berjaya
  • contoh salah cara iklan homestay
  • contoh cara iklan homestay yang gagal
  • bukan cara yang betul untuk iklan homestay
  • cara iklan homestay yang membazir
  • jangan ikut cara iklan homestay ini

Jika anda hendak mencari buku cara iklan homestay boleh muat turun e-book panduan mengiklan homestay dengan berjaya.

 

Analisa Iklan Homestay Gagal di Google Adwords

Pengusaha Manjung Homestay menggunakan perkhidmatan iklan berbayar Google Adwords.

cara-salah-iklan-homestay-di-malaysia-iklanlahpercuma.com

Analisa teks iklan homestay berbayar:

  1. Tajuk iklan adalah D’raudha homestay – homestay in Lumut-Pangkor-Manjung. Ini adalah bagus kerana memberikan nama homestay yang unik. Selain itu iklan homestay ini turut menjelaskan kesemua lokasi homestay.
  2. Pemilihan alamat domain homestay juga bagus. Ia menggunakan dua perkataan kata kunci yang sangat jelas dan senang untuk pelawat ingat apabila digabungkan.
  3. Penggunaan ayat promosi bahasa Inggeris “Reasonable price” iaitu harga berpatutan dan juga “strategic location” iaitu lokasi strategik menggambarkan pemilik homestay ini mensasarkan pelancong asing daripada luar negara dengan kuasa beli yang lebih besar.
  4. Ayat promosi teks kedua pula menggambarkan bahawa ada promosi harga dalam waktu cuti dan pelancong perlu tempah awal untuk mendapatkan harga diskaun ini.

Jangan Ikut Cara Iklan Homestay Gagal

Tetapi pengusaha homestay ini gagal 100% apabila pengunjung klik iklan homestay tersebut. Kesemua pengunjung akan dihalakan kepada satu laman web yang bermasalah. Jadi ia tetap tidak boleh di akses.

manjung-homestay-wordpress-database-error-iklanlahpercuma.com

ManjungHomestay.com tidak boleh dibuka kerana ada masalah teknikal dengan pengkalan data. Walaupun saya tidak dapat membuka laman web ini, saya boleh agak yang ia menggunakan CMS WordPress berdasarkan kata kunci WP pada URL selepas domain.

Tanggungjawab Pengusaha Homestay

Nasihat saya pada pengusaha homestay yang hendak mengiklan di luar sana:

  1. Sila pastikan alamat domain anda betul. Banyak kali pautan tidak boleh dibuka kerana pengiklan tersalah tulis alamat. Pilihlah alamat domain yang pendek dan gabungan kata kunci mudah sebut dan ingat.
  2. Pastikan juga laman web boleh dibuka. Kesemua sistem CMS termasuk plugin sudah dikemaskini.
  3. Pastikan laman web tidak dijangkiti dengan virus blog atau malware. Laman web anda mungkin akan di sekat Google dan juga browser tertentu seperti Chrome.

Sia-sia sahaja anda mengiklan, orang kata buang masa dan tenaga. Lagi-lagi jika iklan tersebut adalah iklan berbayar, sudah jadi rugi. Lebih baik anda mulakan dengan menggunakan perkhidmatan iklan percuma homestay seperti di IklanLahPercuma kategori homestay atau laman IklanHomestay.com terlebih dahulu.

Gunakanlah servis iklan homestay percuma selama sebulan. Selepas anda sudah puas hati iklan anda semua sempurna dan laman web berjalan lancar, barulah anda cuba iklan berbayar. Dengan cara ini anda tidak rugikan kos pemasaran anda dan iklan homestay gagal akan menjadi berjaya.

Terima kasih kerana membaca dan tolong kongsikan artikel ini dengan menekan butang media sosial di bawah.

Comments Off

Pengiklanan Francais

| Info Iklan | 03/04/2014

Memilih sistem perniagaan francais adalah antara salah satu kaedah penjenamaan perniagaan tetapi ini tidak bermakna anda tidak perlu melakukan sebarang aktiviti promosi secara berterusan.

Promosi dan pengiklanan mempunyai jangka hayat tertentu dan lama kelamaan akan tenggelam dengan arus persaingan pasaran yang mencabar walaupun sesuatu jenama berkenaan sudah kukuh di pasaran.

Strategi pemasaran seperti promosi perlu dirancang secara bermusim bagi memastikan sesebuah jenama tersebut terus diyakini pengguna, disamping meningkatkan ekuiti atau jenama sesebuah perniagaan.

Dalam sistem perniagaan francais, francaisor dan francaisi mempunyai tanggungjawab merancang serta melaksanakan aktiviti promosi untuk terus bersaing di pasaran dengan perniagaan francais yang lain.

Program pengiklanan dan promosi akan dirancang dan dilancarkan oleh francaisor manakala francaisi merupakan penyumbang kepada sebahagian kos pelaburan selain diberi peluang untuk menyuarakan pandangan dan memberi cadangan.

Terdapat belbagai medium promosi dan pengiklanan yang boleh digunakan seperti media sosial, cetak, elektronik, radio, majalah dan beberapa lagi.

Melancarkan promosi tanpa perancangan yang sistematik merupakan satu tindakan yang sia-sia dan merugikan kerana aktiviti promosi memerlukan kos yang tinggi sehingga menelan belanja jutaan ringgit setahun. kadar pulangan keuntungan segera perlu dijana apabila promosi dilancarkan bagi memperoleh semula kos yang telah dilaburkan.

Promosi yang kurang efektif juga akan memberi imej yang buruk kepada sesebuah jenama perniagaan dan jika berlaku, persepsi berkenaan amat sukar dikikis daripada minda pengguna.

Bagi mengelakkan sebarang risiko, perancangan awal perlu dilakukan sama ada melakukannya sendiri atau melantik agensi pengiklanan yang sudah terbukti keberkesanannya dalam melakukan sesebuah promosi sebelum ini.

Promosi dan pengiklanan yang berterusan akan menjadikan sesebuah jenama perniagaan tersebut terus segar di pasaran walaupun ada ketikanya mereka tidak mengeluarkan produk atau perkhidmatan baharu. Cara ini juga dapat membantu memulihkan jenama jika berlaku sebarang persepsi negatif oleh pasaran.

Untuk mencapai keberkesanan promosi dan pengiklanan, usahawan francais perlu mempunyai strategi promosi yang efektif dengan mengambil kira elemen penting seperti golongan sasar, kesesuaian medium dan masa terbaik untuk melancarkan promosi supaya lebih mudah diingati dan mampu mempengaruhi keputusan dalam membuat pembelian.

Secara umumnya, promosi dan pengiklanan adalah perkara penting yang tidak boleh diabaikan oleh sesebuah perniagaan francais. Kosnya sangat tinggi tetapi pulangannya cukup berbaloi untuk kelangsungan sesebuah perniagaan.

Sumber:  Utusan
Comments Off

Iklan dan Cari Homestay Murah

| Info Iklan | 20/12/2013

homestay kampung

Adakah anda mencari tempat iklan homestay? Memang ramai rakyat Malaysia cari iklan homestay percuma. Kalau orang dulu-dulu bila pergi bercuti akan cari rumah saudara mara atau kenalan terdekat. Orrang sekarang cari hotel atau hotel bajet. Trend terbaru adalah cari homestay murah.

 

Apa Itu Homestay?

Homestay ini adalah mendiami tempat penginapan dengan suasana rumah. Macam duduk rumah sendirilah. Semua kena layan diri.

 

Trend Carian Lokasi Homestay

Anda mungkin hendak cari homestay murah untuk bercuti di..

  • Langkawi
  • Melaka
  • Terengganu
  • Pulau Tioman
  • Pulau Perhentian
  • Pulau Pangkor

Anda mungkin hendak cari homestay untuk tengok anak di sekolah asrama, kolej atau universiti…

  • UITM
  • UUM
  • MRSM
  • Sekolah Berasrama Penuh (SBP)
  • Sekolah Teknik dan Vokasional

 

Sebab Cari Homestay

Ada banyak sebab kenapa rakyat Malaysia cari homestay murah:

 

Homestay Sesuai Untuk Keluarga Besar

Kalau anda ada keluarga besar, teruk juga kena keluarkan duit untuk bayar duit hotel kerana terpaksa ambil banyak bilik. Kalau satu bilik dah berharga RM100 semalam, ambil dua bilik dah jadi RM200. Kalau ambil 3 malam dah jadi RM600. Perrrggghhh! Koyak dompet. Kalau anda perlukan lebih daripada 2 bilik, boleh pengsan jadinya.

Pasal tu ramai orang bercuti balik kampung sahaja lah kan? Alhamdullilah kerana kemunculan homestay, ramai mampu pergi bercuti walaupun mereka dengan keluarga besar.

 

Homestay Lagi Murah Banding Hotel

Homestay bukan sahaja untuk keluarga besar. Untuk keluarga kecil pun, tinggal di homestay lagi murah. Kerana pemilik tidak berkira macam hotel. Hotel pakai pelaburan besar. Modal pusingan pun besar kerana kos operasi besar. Nak bayar gaji pekerja hotel semua. Lepas tu segala ubat gigi, berus gigi, sabun, shampo apa lagi. Cadar dan tuala pun kena tukar setiap hari pula tu. Bayangkan aje lah kos operasi hotel yang tinggi.

Kalau duduk homestay, bawalah sendiri semua benda. Cadar pun takde tukar-tukar ya. Pemilik cuma akan kemas dan bersihkan rumah selepas anda keluar. Bukan sahaja itu, kalau anda hendak duduk hotel tepi pantai atau hotel yang ada private beach, memang harga bilik  semalam paling murah RM300 hingga RM400. Dengan harga itu anda boleh dapat sebiji rumah homestay.

 

Lokasi Homestay Lagi Dekat Dengan Tempat Nak Tuju

Kalau nak pergi  bercuti ke pantai, anda mesti nak duduk betul-betul dekat pantai kan? Kalau boleh buka pintu je dah pasir pantai. Kalau duduk hotel ni leceh lah pulak,  kena jalan kaki seberang jalan atau jalan jauh juga lah seberang lobi,  kafeteria, swimming  pool baru sampai pantai. Homestay lagi best kerana ramai penduduk tepi pantai yang rumah lama mereka dekat dengan pantai sudah bosan duduk  sana atau perlukan pendapatan tambahan dan mula menyewa rumah sebagai homestay. Tak percaya? Pergi ke Terengganu… sepanjang jalan tepi pantai berderet homestay.

Bagi yang pergi tengok anak ambil diploma pun tahu yang tiada hotel betul-betul dekat dengan kolej. Dekat UITM Shah Alam yang ada hotel tu pun nasib baik je lah kalau sempat book awal. Itu pun memang seribu satu nasib. Berapa ribu pelajar yang nak grad pada satu masa. Bilik hotel ada berapa je. Mana cukup dengan beribu keluarga tu. Lebih baik cari homestay kat kawasan taman sekitar.

 

Suasana Lebih Macam Rumah

Betul tu kan? Sedangkan hotel-hotel terkemuka tiga empat bintang berlumba-lumba menjadikan suasana inap di sana macam di rumah, kan lebih baik tidur di rumah je.Kat rumah kan senang, bilik air semestinya ada lebih saripada satu. Lepas tu kalau malas nak keluar makan, boleh beli barang dapur  dan masak sendiri. Peti ais pun besar, boleh taruk segala jenis benda, bukan macam peti ais kat hotel yang kecik ciput macam peti  harta karun tu.

Kalau anda ada ramai anak-anak nakal pun tidak risau. Biasanya pemilik homestay ni takde letak barang berharga dalam rumah. TV kalau ada pun TV lama. Kalau duduk hotel, masyaAllah… semua benda mahal. Pecah atau rosak kena ganti. Menangis sia-sia je.

 

Lagi Banyak Pilihan Homestay

Homestay masa diperkenalkan dulu oleh Tourism Malaysia memanglah rumah kampung sahaja. Seingat saya pun memang tujuan homestay ini untuk  meningkatkan pendapatan kawasan desa. Jadi menteri pun masuk kampung dan promosikan homestay rumah kampung lama yang papan tu.

Ramai pelancong luar negara pun datang berduyun-duyun untuk merasai pengalaman duduk rumah kampung dan tengok kenduri kahwin kita serta macam-macam lagi. Lepas tu orang kampung yang sudah berhijrah ke bandar pun mula menyewa rumah kampung mereka setelah kematian ibu bapa. Akhirnya orang kampung semua mula bina bungalow comel, chalet dan motel dengan iklan homestay juga.

Jadi bila anda nak pergi bercuti, lagi banyak pilihan homestay berbanding hotel.

Selesai sudah cerita pasal iklan dan cari homestay ni. Sila guna portal iklan ini untuk senaraikan homestay secara percuma atau  anda boleh juga mengiklan di iklanhomestay.com

Lagi banyak anda mengiklan lagi besar peluang untuk mendapat pelanggan yang banyak setiap bulan.

Silakan…

Comments Off

Iklan Percuma Popular di Malaysia

| Panduan & Tutorial | 17/12/2013

iklanlahpercuma.com-iklan-percuma-popular

Ramai usahawan dan peniaga internet mencari iklan popular di Malaysia untuk mengiklankan produk dan perkhidmatan mereka. Apa maksudnya popular? Popular bermaksud portal iklan percuma tersebut:

  • menjadi sebutan dan buah mulut pengguna internet
  • menjadi kegemaran pengguna internet
  • dikunjungi oleh ramai pelawat setiap hari
  • bila mencari produk atau perkhidmatan di Yahoo atau Google, senarai portal iklan percuma tersebut selalu keluar dahulu

Tujuan bagi mencari portal iklan percuma yang popular adalah supaya iklan mereka dilihat oleh ramai orang.  Apabila ramai orang melihat iklan tersebut lagi tinggi kebarangkalian iklan usahawan dan peniaga internet untuk di klik oleh pelawat.

Mengiklan di laman atau portal iklan percuma ada keburukan dan kebaikannya yang akan dibincangkan bersama. Jikalau portal iklan percuma menjadi popular, lambat laun ia akan mengalami masalah-masalah berikut:

  1. Server load tinggi menjadikan akses ke portal iklan percuma popular tersebut perlahan atau langsung tidak boleh dibuka.
  2. Database load tinggi menyebabkan akses terganggu. Sama seperti di atas. Akhirnya pihak admin tidak akan menyimpan iklan lama dalam pengkalan data. Yang rugi adalah anda kerana anda perlu mengepos iklan setiap 2 minggu atau sebulan sekali supaya iklan anda sentiasa ada dalam pengkalan data mereka.
  3. Terlampau banyak iklan percuma pesaing produk dan perkhidmatan anda. Jadi apabila pelawat mencari produk atau perkhidmatan mereka akan buka semua iklan berkaitan dan membuat perbandingan. Biasanya rakyat Malaysia pilih produk atau perkhidmatan yang murah sahaja. Kita rakyat Malaysia ini kurang cerewet pasal kualiti.
  4. Iklan premium akan bersepah di halaman depan dan merata tempat. Semak mata memandang sehingga menyusahkan pelawat navigasi atau mencari produk dan perkhidmatan anda.
  5. Portal iklan percuma popular tersebut akan mula mengenakan syarat dan peraturan yang tidak munasabah. Biasanya pihak admin akan menghadkan jenis iklan yang boleh diiklankan oleh usahawan dan peniaga internet.

Ada banyak lagi masalahnya jika mengiklan di portal iklan percuma popular di Malaysia ni. Tapi mari kita lihat contoh yang paling nyata, pengiklanan di Mudah. Kebaikannya ada satu sahaja, iaitu ramai orang guna dan tahu mengenaikan iklan di Mudah. Tetapi apabila mereka pergi mencari produk dan perkhidmatan di sana, masalah-masalah seperti di atas akan terjadi.

  • Masalah server load tinggi senang sahaja untuk diatasi oleh  mereka kerana mereka merupakan syarikat asing mega dengan modal yang banyak, jadi mereka boleh ambil banyak server.
  • Masalah database bukan senang untuk diperbaiki atau naik taraf kerana itu mereka mengambil jalan mudah dengan membuang iklan anda setelah 2 minggu. Ini  tersangatlah rugi kerana robot spider Google dan Yahoo sampai bila tidak akan sempat menyenaraikan iklan anda dalam carian mereka. Kalau anda ingat pada suatu masa dahulu iklan mudah selalu keluar dalam senarai carian, sekarang tidak lagi.
  • Masalah ramai pesaing ni pun diluar kawalan  mereka.
  • Masalah iklan premium tidak ada kerana mereka mula mengenakan caj-caj tersembunyi kepada pengiklan percuma apabila terpaksa naik taraf ke Mudah pro niaga. Semua benda nak buat kena caj, hampeh.
  • Semua pengiklan maklum bahawa  susah sangat nak iklan produk dan perkhidmatan anda di mudah kerana banyak sangat syarat seperti yang terangkan sebelum ini. Anda boleh baca artikel sebelum ini mengenai syarat tersebut.

Itu cuma satu contoh sahaja untuk menyenangkan penerangan saya. Jangan marah atau melenting pula ya.

Jadi  pilihlah dengan baik.  Tetapi apa kata iklan aje semua tempat dah alang-alang percuma. Lagi banyak tempat anda mengiklan, lagi besar peluang untuk iklan anda di lihat oleh semua rakyat Malaysia. Dah percuma kan…

Comments Off

Iklan di Majalah Online

| Info Iklan | 15/12/2013

iklanlahpercuma.com-majalah-online

 

Mengiklan secara percuma di majalah-majalah cetak merupakan cara lama. Dewasa ini, pengiklan lagi suka mengiklan di majalah-majalah atas talian. Taburan pengiklanan di majalah online meningkat secara mendadak semenjak meletusnya fenomena jalur lebar di Malaysia.

Ini mungkin juga kerana pengiklan mempunyai bajet yang terhad. Tetapi bagi saya, mengiklan di majalah online lagi menepati citarasa masa kini. Anda tidak perlu keluar daripada rumah untuk mengiklan. Tidak perlu berjumpa dengan ejen pengiklan atau pegawai jualan dan pemasaran  untuk mengiklan di majalah tersebut pun.

Mengikut statistik pelawat, semakin ramai pengguna menggunakan gajet mobil seperti  telefon pintar dan tablet. Pilihan mengiklan di majalah online mungkin merupakan langkah paling bijak untuk anda. Bermula tahun 2013 ini juga Telco ataupun syarikat pembekal jalurlebar begitu hebat berlawan  sesama sendiri memberi khidmat peggunaan internet tanpa had, walhal sebelum ini masing-masing mengenakan had penggunaan 3GB hingga 5GB. Ini semua antara sebab munasabab kenapa makin ramai pelawat datangnya daripada kategori pelawat mobil.

Apa maknanya semua  ini untuk anda? Makin ramai orang akan lihat dan klik iklan di majalah anda.

Apa itu majalah online?

Majalah online ini bukan majalah cetak seperti Mangga, URT, Mastika dan lain-lain majalah yang di pindah ke bentuk pdf untuk di muat turun. Bisnes model majalah atau suratkhabar pdf tidak sesuai untuk golongan muda yang lebih  suka speed read dan membaca apa yang perlu sahaja dan terus klik untuk maklumat lain dalam masa beberapa saat.

Pada fikiran saya mungkin pada mulanya status majalah online ini bermula dengan coretan blog sahaja. Tetapi apabila ia menjadi lebih sistematik dengan kemasukan kumpulan pengarang untuk setiap sudut maklumat seperti berita, hiburan, sukan, IT dan sebagainya… blog tersebut pun bertukar status daripada blog  kepada majalah online. Transformasi ini berlaku tanpa sedar atau tidak mengikut normal pengkhususan kerja di syarikat majalah-majalah.

Apa majalah yang  paling  popular?

Memang terdapat banyak majalah yang popular di Malaysia ini. Tetapi mengikut statistik trend Google dan Yahoo, majalah hiburan adalah majalah yang paling popular di ikuti oleh majalah politik dan yang lain-lain. Ini mungkin kerana pelawat dan pembaca majalah online merangkumi taburan demografik yang lebih menjurus kepada wanita dalam golongan 18-35 tahun.

Antara kebaikan iklan di majalah online:

  • Boleh diakses oleh sesiapa pun secara percuma dengan telefon  pintar dan tablet tetapi majalah perlu dibeli atau  dipinjam.
  • Majalah online ada fungsi archive dimana pembaca boleh mencari  maklum atau artikel lama dengan mudah sedangkan shelf life majalah cetak adalah dalam 3 bulan sahaja. Biasanya selepas bulan pertama tu majalah sudah didermakan kepada kedai gunting rambut atau dijual kepada apek surat khabar lama.
  • Boleh kongsi maklumat dan  gambar dengan keluarga dan kenalan di rangkaian sosial dengan hanya satu klik. Dengan majalah cetak anda mungkin kena gunting dan hantar surat atau faks atau mungkin scan dan e-mel.
  • Pembaca boleh akses majalah online di merata dunia, tidak kira mereka bekerja  atau belajar. Jika guna majalah cetak anda perlu hantar surat menggunakan Fedex atau Poslaju kepada mereka.

Kelemahan iklan di majalah online:

  • Jika berlaku gangguan sambungan internet atau kehabisan bateri gajet, akses ke iklan di majalah online akan terganggu.

Jadi tepuk dada tanya selera. Andakah anda masih nak mengiklan di majalah cetak? Marilah kita cuba iklan di majalah online.

Comments Off

Iklan Percuma di Malaysia

| Info Iklan | 13/12/2013

mudah-iklan-lah-percuma-malaysia

 

Kenapa anda perlu iklan di IklanLahPercuma? Kami memberikan banyak benda yang dikenakan caj oleh pihak lain. Bayangkanlah kalau setiap benda pun kena caj, teruklah camtu kan. IklanLahPercuma sangat sesuai untuk pengiklan bajet seperti anda.Ini sebab-sebabnya:

  1. Akaun mengiklan adalah percuma. Anda hanya perlu ada akaun e-mail untuk mendaftar secara percuma.
  2. 10 iklan percuma terbaru akan terpampang di halaman utama secara percuma.
  3. Iklan percuma anda juga mungkin tersenarai dalam ruangan tab rawak.
  4. Iklan anda akan masuk dalam senarai mengikut kategori dan boleh di cari oleh pelawat. Jadi pastikan kategori yang di pilih adalah betul dan tepat.
  5. Iklan percuma anda akan di simpan dalam pengkalan data selama 365 hari. Anda tidak perlu menghantar iklan yang sama berkali-kali. Memadai anda kemaskini maklumat iklan jika perlu.
  6. Iklan anda akan diberi pautan tetap (permanent  link) yang boleh di crawl oleh robot Google dan Yahoo. Ini bermakna iklan anda bukan sahaja di lihat di laman web IklanLahPercuma tetapi dalam senarai carian Google dan Yahoo.
  7. Tiada had untuk anda menghantar iklan percuma di IklanLahPercuma. Tetapi setiap iklan percuma yang dihantar akan disaring oleh pihak Admin untuk  mengelakkan spam dan iklan yang sama berulang-ulang.
  8. Anda juga boleh memuatnaik gambar produk, servis, contoh kerja,  kedai, tanah, rumah, kenderaan dan lain-lain. Kerana dalam zaman moden rangkaian sosial sekarang ni, gambar membawa seribu makna jadi kami membenarkan anda memuatnaik gambar kualiti tinggi 600×600  pixel.
  9. Pastikan gambar-gambar berkenaan terang, menarik dan berkaitan. Jika pelawat melihat iklan anda dan suka, mereka juga boleh kongsikan iklan atau gambar di rangkaian sosial. Iklan percuma anda akan  bergerak dengan sendiri dengan kekuatan rangkaian sosial.
  10. Atas permintaan ramai juga, kami turut membenarkan anda meletakkan pautan  aktif atau hotlink ke laman web, blog atau facebook anda, juga secara percuma.
  11. Anda juga boleh meletakkan koordinat GPS bagi mereka yang mempunya alamat premis supaya pelanggan senang mencari.
  12. Pastikan anda menggunakan alamat lengkap, kerana sistem kami akan menjana peta maya dengan automatik menunjukkan lokasi premis anda, juga secara percuma.

Memang banyak lagi benda percuma dekat sini. Apa kata anda daftar  dan iklan sekarang secara percuma.

Selamat mengiklan.

Comments Off

Bagaimana Nak Iklan & Jual Kereta Terpakai

| Panduan & Tutorial | 07/05/2013

iklan-percuma-jual-kereta

Bercadang untuk menjual kereta? Bagaimana untuk mengiklan dengan berjaya. Ini dia tips dan petua dalam bentuk panduan mengiklan kenderaan dengan kos terendah dan supaya cepat jual. Bukan semua iklan di laman portal iklan berjaya menjual kereta terpakai.

Kenapa Nak Jual kereta?

Ada banyak sebabnya. Mungkin kerana anda:

  • baru naik pangkat
  • baru naik naik gaji
  • dah habis bayar ansuran kereta lama
  • tidak mahu simpan second car
  • nak beli kereta besar untuk keluarga
  • dah puas pakai kereta nasional, nak cuba pakai kereta luar pula
  • kos penjagaan kereta lama tinggi sangat
  • bosan kereta lama asyik rosak sahaja

Jika anda dapat tawaran pinjaman kenderaan dengan kadar faedah yang rendah, mungkin inilah masa terbaik untuk menukar kereta lama tu. Anda boleh buat trade in kereta tetapi kalau mahu harga yang menarik baik jual kereta dengan sendiri.

Bagaimana Cara Hendak Jual Kereta

1. Cari harga pasaran kereta anda

Bagaimana anda nak tahu harga pasaran kereta sekarang? Beli suratkhabar atau majalah iklan jual kereta macam Motor Trader. Selain itu anda boleh cuba semak harga kereta anda di laman portal iklan jual kereta online. Cari iklan kenderaan yang sama jenis, model dan tahun sama untuk menyemak harga kenderaan tersebut. Jangan ambil harga purata tetapi ambil harga yang tinggi sekali kerana mesti bakal pembeli akan menawar dan anda pasti kena kurangkan harga. Jika ambil harga yang murah sekali, pasti pembeli akan syak ada masalah dengan kereta. Susah nak jual kereta nanti.

2. Sediakan kenderaan untuk jual

Kalau kereta ada kemek dan cacat cela serta masalah cat tanggal sila hantar kereta untuk ketuk, semen dan cat dahulu. Tidak perlu cat satu kereta. Cakap kat tokey nak touch up untuk jual kereta sahaja, dia akan fahamlah tu nanti. Kalau warna kereta anda tidak sama dengan warna kereta dalam geran, mungkin anda kena cat semula atau pergi ke JPJ daftar tukar warna kereta. Pasal tu jika ada niat untuk jual kereta, orang tak cat warna pelik-pelik, biarkan kereta warna stok atau warna asal sahaja.

Kalau tint cermin kereta dah gelembung, bergerutu dan menyakitkan mata sila cabut dan buang terus. Tak reti? Sila hantar ke kedai tint cermin, nanti dia siap akan cuci dengan bahan kimia sekali bagi cermin bersih. Tidak perlu tukar yang baru kalau nak jimatkan duit.

Selepas itu sila hantar kereta anda untuk di cuci snow wash di kedai pilihan anda. Jangan lupa cuci enjin sekali. Pastu kalau ada bajet minta polish dan wax sekali. Oh ya, jangan lupa sapu pengilat dashboard kereta dan tayar. Lampu kereta pun boleh polish sekali, kalau dah kuning kusam. Biar kereta nampak cantik berkilat macam baru sampai anda sendiri sayang nak jual kereta.

Lagi satu janganlah simpan barang dalam kereta lagi, kasut sukan ke, bola bowling ke, barang mainan anak-anak dan segala benda tidak perlu boleh keluarkan dan tinggal kat rumah.

3. Ambil gambar kenderaan

Kalau sudah buat semua tu terus ambil foto kereta di tempat cuci kereta. Kalau nak bawa balik nanti kotor pula. Ambil gambar depan, sisi, belakang, dalam dan tidak lupa enjin. Janganlah pakai kamera murah atau kamera handset Nokia lama. Guna kamera digital dengan megapixel tinggi dan pastikan cahaya terang baru gambar nampak cantik. Langkah ini amat penting untuk tujuan mengiklan jual kereta secara online. Kalau anda letak gambar iklan kereta kotor macam kerbau berlumpur, agak-agak akan ada orang hubungi tak? Kalau nak iklan jual kereta mesti kena ada gambar. Takde gambar foto kereta memang susah nak jual kereta. Percayalah!

4. Persediaan untuk mengiklan kereta

Proses ni senang jika anda buat templat teks iklan. Boleh ulang guna berkali templat teks iklan tersebut. Banyak persediaan yang perlu dibuat jika nak jual kereta.

a. Siapkan gambar digital

Saizkan gambar besar 600×600 pixel dan simpan dengan format jpg atau png sahaja. Jangan guna format bmp atau gif. Kalau guna bmp saiz fail besar dan tidak mampat. Kalau guna gif lebih sesuai untuk gambar animasi.

Gunakan Adobe Photoshop atau GIMP untuk mampatkan gambar. Kalau tiada perisian tersebut, boleh guna servis percuma optimasi imej seperti http://www.imageoptimizer.net

b. Siapkan maklumat iklan nak jual kereta

Sediakan maklumat kereta dalam satu fail teks sahaja. Maklumat ini sebagai templat anda mengiklan, senang boleh copy & paste sahaja. Contohnya seperti dibawah:

Jenis Kenderaan: Sedan/MPV/SUV
Buatan: Proton/Perodua/Toyota/Honda
Model: Kancil/Myvi/Wira/Waja/Persona
Tahun Daftar: 2001/2002/2003/
Mileage: 100,000km
Transmisi: Auto/Manual
Keupayaan Enjin: 1.3/1.5/1.8 cc
Bahan bakar: Petrol/Diesel
Warna: Merah Metalik/Putih solid

c. Maklumat lain nak jual kereta

Tambah lain-lain maklumat untuk menarik minat pembeli:

  • tidak pernah kemalangan
  • mileage rendah, pemanduan drpd rumah ke stesen komuter sahaja
  • mileage rendah, second car
  • pemandu wanita yang cermat
  • pemilik tidak merokok
  • kereta di cuci setiap minggu
  • tiada calar balar, seperti baru 99%
  • baru perbaharui cukai jalan dan insuran
  • baru servis kenderaan
  • baru tukar bateri, tayar, tint cermin kereta
  • aksesori tambahan mp3-player
  • sport-rim baru

5. Iklan di laman portal iklan percuma

Sekarang dah boleh mula daftar dan hantar ke semua portal iklan kereta.

a. Hantar banyak iklan percuma

Rugi kalau hantar ke satu tempat sahaja. Kalau dulu orang iklan kat semua suratkhabar, jadi sekarang anda kena iklan dekat semua laman portal mengiklan nak jual kereta. Cari yang percuma sahaja dulu. Ada banyak tempat nak iklan, jangan risau. Buat sahaja carian dengan terma “iklan percuma” atau “nak jual kereta”. Kalau kereta tidak terjual dalam masa sebulan baru mula beli iklan premium untuk pastikan pengunjung nampak iklan anda sentiasa. Yang penting anda simpan senarai semua alamat laman portal iklan tersebut untuk pantauan. Mungkin anda kena kurangkan harga pasaran mengikut kesesuaian.

b. Ubah sedikit kandungan iklan kereta dan tajuk

Maklumat iklan sudah ada jadi senang copy dan paste sahaja selepas itu ubah sana sini sedikit. Tajuk iklan pun kena buat variasi sedikit kerana sekarang kebanyakkan portal mengiklan menggunakan teknologi terbaru untuk menyiarkan iklan. Ejen robot carian internet seperti Google dan Yahoo akan menjelajah dan mengindeks iklan anda. Jika semua tajuk dan isi sama, senarai iklan anda yang keluar akan kurang. Google dan Yahoo cuma akan pilih satu sahaja.

Kalau anda tidak faham macam ni lah. Semua pengguna internet akan nampak iklan anda dalam senarai carian Google dan Yahoo. Bukan dalam carian laman portal iklan sahaja. Masih tak faham? Biar saya terangkan. Bila anda hantar iklan ke satu laman dia keluar semua tempat. Biar saya bagi analogi – anda tampal iklan dalam 7-11 tetapi iklan itu akan tersebar di kawasan sekitar taman perumahan juga. Untung bukan?

Tetapi bakal pengunjung akan nampak tajuk iklan anda sahaja dalam senarai Google dan Yahoo. Bila di klik baru iklan akan terpampang. Masa ni siapa yang buat bayaran iklan premium mungkin boleh hijack atau rampas perhatian pengunjung dan anda hilang seorang pembeli kereta. Jangan risau, peluang anda masih 50/50. Jika isikandungan iklan pesaing tidak menarik, anda juga akan menang. Jadi isikandung dan gambar amat penting.

6. Maklumat perhubungan

Ini penting sangat. Kalau iklan letakkan nombor telefon atau alamat emel yang betul. Semak berkali-kali tau. Kalau iklan anda ramai yang baca dan suka, tetapi nak hubungi tak dapat, memang rugi.

Lepas tu sila tulis dengan jelas bila anda boleh dihubungi. Jika anda tidak dapat menjawab telefon pun susah, bakal pelanggan ingat anda tidak serius nak jual. Misalnya:

  • Sila telefon siang sahaja, waktu malam sms only!
  • Boleh sms, whatsapp, viber dan emel sahaja. Panggilan tidak akan dilayan!
  • Sila mesej waktu kerja 9am – 6pm. Waktu malam dan hari minggu boleh call
  • Sila hubungi dengan alamat emel berikut…
  • Sila hubungi saya dengan menggunakan borang sistem disebelah kanan…

7. Bersedia untuk jumpa bakal pembeli

Kalau ada pembeli berminat. Buat temujanji jumpa waktu malam hari bekerja atau hari minggu. Kenapa jumpa waktu malam? Kalau kereta anda masih ada cacat cela, susah nak nampak. Kalau anda yakin kereta ok, jumpa waktu siang hari minggu pun ok. Tetapi cuci kereta dahulu sebelum jumpa. Cuci biasa dah ok.

Jangan lupa bawa seorang dua kawan. Lepas tu bakal pembeli mesti mahu test drive kereta. Jangan bagi kunci camtu sahaja. Naik kereta sekali dengan dia. Dah banyak kes orang pelarikan kereta masa test drive ni.

Lepas tu bincanglah dengan bakal pembeli harga jualan baik-baik. Kalau bakal pembeli jadi beli. Tahniah!

8. Proses pindah milik

Akhir sekali jangan lupa sediakan salinan mykad, surat geran, perjanjian jual beli ringkas, borang tukaran milik JPJ dan pengesahan PUSPAKOM. Memang kena pergi syarikat insurans, JPJ, PUSPAKOM dan ke JPJ semula. Bakal pembeli kena bayar untuk semua kos biasanya. Nasihatkan pembeli anda sediakan insuran sebelum proses tukar nama. Boleh beli insuran 3rd party atau 1st party. Belian insuran boleh dibuat secara online atau dengan Whatsapp ejen insuran MYroadtax.com dengan nombor telefon di bawah.

myroadtax-avatar-200px

Ingat kalau pembeli daripada luar kawasan anda dan kata akan uruskan semua nanti, minta anda sain borang sahaja, boleh juga. Tetapi pastikan dia sain surat perjanjian jual beli anda dan kasi tempoh seminggu untuk tukar hak milik atau anda akan blacklist kereta di JPJ dan buat laporan polis. Anda hanya perlu semak dengan JPJ status penukaran selepas seminggu. Risiko jika tukaran hakmilik belum buat adalah jika kemalangan berlaku atau bila kena saman. Pening kepala jadi kalau boleh uruskanlah sendiri dengan pembeli terus ditempat anda. Satu hari boleh siap semua.

Selesai sudah panduan ni. Jemput iklan kereta anda di sini atau di portal nakjualkereta.com

Terima kasih kerana membaca.  Jika anda suka boleh kongsikan dengan klik butang sosial dibawah.

Comments Off

Sebab Mengiklan Tanpa Nama di Portal Iklan

| Info Iklan | 06/05/2013

iklan-percuma-anonymous

Kenapa ada orang nak mengiklan tanpa nama atau guna nama samaran?

Memang di internet ini banyak orang lagi guna nama samaran daripada nama betul. Jika letak nama betul pun kekadang tidak guna pasal ada berapa ramai orang guna nama yang sama. Tetapi mari kita kaji kenapa perlu guna nama samaran.

Ada banyak sebab-sebabnya, dan antaranya adalah kerana:

  • Kontrak Kerja
  • Nama Samaran Lagi Popular
  • Takut
  • Malu
  • Kredibiliti

Kontrak Kerja

Banyak pekerja swasta ataupun kerajaan yang tidak dibenarkan untuk membuat kerja luar, kerja sambilan ataupun buka bisnes sendiri. Dalam kontrak kerja sudah jelas dikatakan risiko sehingga boleh dikenakan tindakan disiplin serta diberhentikan kerja. Oleh itu, ada antara mereka yang apabila mengiklan akan menggunakan nama samaran.

Nama Samaran Lagi Popular

Mungkin juga nama samaran yang digunakan lagi popular atau memang nama yang digunakan dalam kehidupan seharian. Sampai jiran sendiri pun tidak tahu nama betul dia. Pelanggan pun senang nak ingat nama samaran tu pasal lagi glamer dan senang ingat.

Ramai juga yang terpaksa guna nama samaran kerana nama betul dah di ambil orang. Macam kes nama pengguna facebook. Apabila membuat laman facebook nama kita orang lain dah guna. Jadi kena buat nama samaran. Bila mengiklan takut pelanggan keliru jadi mereka guna nama samaran facebook juga.

Takut

Takut ini boleh jadi banyak sebab. Mungkin dia nak jual barang di internet tetapi tidak mahu majikan tahu pasal jual barang guna staff price, jadi harga barang lagi murah daripada pasaran. Ramai lagi pelanggan berminat kerana harga yang di iklankan lagi murah daripada harga barang tersebut di pasaran.

Mungkin juga si isteri nak buat bisnes atas talian tanpa pengetahun suami. Menjual tudung, alat solek dan sebagainya.

Malu

Malu ni memang malu bersebab dan bertempat. Mungkin kerana penjual lelaki menjual barang-barang perempuan. Jadi dia tidak mahu malu lah dengan rakan atau jiran. Kalau muka tak malu, memang tak kisah, pasal tak salah pun.

Ataupun penjual perempuan menjual barang-barang yang sensitif seperti pakaian dalam wanita dan sebagainya. Takut kena jadi sindiran rakan pekerja lelaki di pejabat. Susah juga tu dibuatnya, biasa la orang lelaki ni sindir ada makna tu.

Kredibiliti

Ni terbalik pula dengan kisah malu. Pasal dunia dah berubah, zaman dah moden. Sekarang ni wanita pun dah masuk bisnes lelaki. Ada buka bengkel kereta, pusat cuci kereta dan sebagainya. Bila mengiklan mereka gunakan nama samaran macam nama lelaki untuk mendapatkan pelanggan. Pasal mungkin pengguna akan pikir set kemahiran wanita tersebut tidak cukup hebat jika dibanding dengan lelaki.

Sama lah juga dengan mereka yang menggunakan gelaran cikgu, ustaz, chef dan doktor di pangkal nama untuk mendapatkan kredibiliti tersebut. Ramai juga mereka yang menggunakan gelaran-gelaran ini untuk mengiklan dan menjual barang. Ramai artis terkenal di Malaysia pun buat camtu apa, guna gelaran ustaz lah… doktor lah… ikut suka hati ko lah labu.

Kekadang tu apabila mengiklan barang high class atau barang import yang mahal-mahal belaka, nak jual pun susah kalau nama kita cam kampungan sangat. Nak jual tas tangan jenama Louise Vuitton tetapi nama sebenar Aminah. Jadi gunalah nama samaran Amy dalam mengiklan atau menjual. Baru orang ingat awak anak datuk mana atau belajar luar negeri dan berani nak beli barang tersebut.

Penutup

Kesimpulannya guna nama samaran ni tidak salah. Yang penting orang boleh berhubung untuk membuat urusan jual dan beli. Tak kisah nak letak nama betul atau nama samaran masa mengiklan pun boleh. Lagi bagus pilih portal iklan yang tidak guna nama dalam iklan. Biar bakal pelanggan membuat pilihan tanpa gangguan segala macam sifat iri hati dan dengki manusia seperti prejudis perkauman, prejudis jantina, prejudis politik, semangat kenegerian dan sebagainya. Bakal pelanggan cuma akan tahu nama kita apabila hubungi untuk membuat belian.

Terima kasih kerana membaca. Sila kongsikan dengan klik butang sosial di bawah.

Comments Off

Panduan Cari Tempat Iklan di Malaysia

| Panduan & Tutorial | 03/05/2013

media-cetak-suratkhabar-malaysia

Apa pilihan anda ada untuk iklan? Boleh mengiklan di media cetak, media av ataupun atas talian. Mari kita kaji dan selidik setiap kelebihan dan kekurangan media-media ini.

Suratkhabar

Suratkhabar telah menjadi pilihan penduduk dunia semenjak seratus tahun lalu. Tetapi kerana indeks langganan mereka menurun, kos kertas naik, kemasukan media alternatif baru telah menyebab ramai pengguna mula lari daripada media ini. Kejadian ini sama juga berlaku diMalaysia.

Antara suratkhabar yang ada di Malaysia:

  • Harian Metro
  • Kosmo
  • Berita Harian
  • Utusan Malaysia
  • The Star
  • News STraits Times
  • China Press
  • Sin Chew Jit Poh
  • Sinar
  • Harakah
  • Malay Mail
  • The Sun
  • Borneo Post

Majalah

Media cetak ini pun diancam kepupusan. Banyak majalah di Malaysia sudah bungkus atau tutup kedai. Syarikat terpaksa memberhentikan penerbitan majalah-majalah tertentu kerana jumlah pembaca terlampau kurang. Kos mengiklan di majalah pun mahal tak terkata kerana kualiti kertas yang digunakan bukan kitar semula macam suratkhabar. Senang cakap harga iklan satu muka penuh full color boleh beli sebiji motor lah.

Antara majalah hiburan yang masih kekal di Malaysia:

  • Mastika
  • Mangga
  • URTV
  • Remaja
  • Media Hiburan

Tabloid

Ya, kita di Malaysia pun ada kategori suratkhabar tabloid. Syabas buat Harian Metro kerana telah berjaya melompat keluar daripada kategori ini ke kategori suratkhabar. Tetapi muka depan dan isikandungnya masih sama, tabloid. Hahaha… jangan marah.

Antara tabloid Malaysia:

  • Mingguan Warta Perdana
  • Bacaria

Alamak lupa pula nama-nama suratkhabar tabloid di Malaysia. Tetapi tidak banyak yang kekal pun kecuali dua yang atas ni.

Komik

Pada satu masa dahulu komik Gila-Gila dan Ujang menjadi kegilaan rakyat Malaysia. Bukan sahaja budak-budak tapi golongan dewasa juga baca untuk menghiburkan hati. Hari ini kemasukkan komik baru tumbuh macam cendawan lepas hujan tetapi cepat hilang. Ingatkan cerah sampai ke petang, tetapi sudah hujan di tengahari.

Makalah Iklaneka

Di kawasan urban atau bandar kosmopolitan muncul pula media cetak baru kerana kos mengiklan di suratkhabar naik mendadak tak masuk akal. Ini memberi peluang untuk peniaga kecil-kecilan mengiklankan produk dan perkhidmatan mereka di kawasan setempat. Antaranya adalah:

  • City Ads
  • City Explorer
  • Media Focus

Papan Iklan Billboard

Ni pun sumber iklan orang kaya. Syarikat tempatan dengan tunover juta-juta je mampu iklan. Selain tu banyak kita nampak iklan syarikat gergasi multi nasional coporation dan franchise makanan.

Selain media cetak, bagi mereka yang ada bajet besar boleh mengiklan di media audio visual seperti tv dan radio.

Indoor Advertising

Iklan jenis ini lebih tertumpu untuk kawasan dalam premis perniagaan seperti di pusat membeli belah dan premis perniagaan di mana orang perlu menunggu. Dahulunya media iklan ini sekadar papan iklan billboard versi kecil tetapi semenjak beberapa tahun yang lepas ia telah bertukar menjadi versi digital sehinggakan kedai mamak seperti restoran kayu dan kedai tomyam di pantai timur pun pakai iklan ni.

Yang pasti untuk mengiklan seseorang perlulah membayar dengan mengikat kontrak setahun dua. Bukan untuk mereka yang bajet kecil.

Risalah

Media risalah ni ada gunanya. Untuk yang ada bajet boleh iklan dengan membayar syarikat penghantar suratkhabar setempat untuk memasukkan risalah dalam suratkhabar.

Selain itu ada yang mengupah budak-budak menghantar risalah ke kawasan perumahan dan lot parking. Bagi mereka yang tiada bajet boleh edarkan risalah di pasar malam, surau dan masjid.

Tetapi ternyata cara ini tidak berapa berkesan kerana penentrasi hanya untuk kawasan setempat atau sekitar premis. Ia lebih sesuai untuk bisnes seperti kedai makan.

TV, TV Satelit dan IPTV

Selain tv kerajaan RTM, telah muncul banyak juga syarikat tv swasta. Tetapi media iklan ni adalah untuk big boys yang bajet berjuta-juta setiap tahun. Susah nak nampak produk bumiputera masuk iklan tv kecuali milik jutawan juga. Antara syarikat tv di Malaysia adalah:

  • RTM1
  • RTM2
  • TV3
  • TV9
  • 8TV
  • Astro
  • Astro Beyond
  • HyppTV

Radio

Radio masih menjadi kegemaran ramai pemandu di Malaysia. Lebih-lebih lagi di bandar kosmopolitan yang sentiasa trafik sesak waktu pagi pergi kerja dan waktu balik kerja. Dah takde benda nak buat dalam kereta layan radio lah. Tetapi kerana pemain mp3 dah murah berbanding pemain cd dahulu, pemandu anda alternatif mendengar koleksi lagu kegemaran mp3 mereka. Bukan itu sahaja bukan semua produk boleh diiklankan menggunakan radio kerana media audio ni cuma boleh menangkap deria pendengaran kita sahaja.

Antara siaran radio yang menjadi pilihan:

  • Hitz FM
  • Hot FM
  • ERA
  • Sinar FM
  • Suria FM
  • Best 104

Internet

Kalau nak bercerita pasal internet. Tentulah yang paling hebat adalah Google Adwords jika anda ada bajet. Iklannya lebih optimum untuk versi carian kerana untuk display network tidak banyak tempat di Malaysia yang menerima iklan jenis ini.

Tidak banyak blogger mempunyai kategori isikandung yang berkaitan dengan produk atau perkhidmatan yang hendak di pasarkan. Kebanyakkan blog yang tinggi trafik dan pembaca unik adalah blog hiburan dan politik semata-mata. Jadi iklan display network balik-balik keluar di Youtube sahaja.

Untuk golongan yang masih berbajet boleh juga iklan di suratkhabar versi atas talian seperti berikut:

  • Utusan Online
  • Harian Metro Online
  • Berita Harian Online
  • Kosmo Online

Selepas itu pada tahun 2007 muncul pula satu laman portal iklan yang berjaya menembusi pasaran Malaysia. Hebat syarikat luar ini punya bajet iklan. Setiap hari selama setahun keluar iklan tidak henti-henti di tv dan radio. Berapa juta diaorang berhabis ya sampai pengiklanan internet sinonim dengan jenama mudah. Tetapi alamat mudah tidak siapa yang tahu. mudah.my ke mudah.com.my kita pun tak tahu. Biasanya pengguna taip terus terma carian “mudah” di google ataupun bing.

Mula-mula tu servis mudah bagus. Senang hendak menghantar iklan dan mencari iklan. Tetapi lama kelamaan kerana terlampau sukses, servis merosot. Bukan sahaja carian lambat. Susah hendak mencari barang pasal terlampau banyak sangat iklan masuk. Ramai pula pengiklan berlumba-lumba mengiklan sampai nak cari barang cukup susah. Naik penat nak klik next page berkali-kali sampai habis berejam dalam laman iklan mudah mencari barang.

Gambar yang dibenarkan muat naik pula kecil sangat. Naik pening kepala mengerut nak tengok apa kebenda yang diiklan. Kategori barang dan perkhidmatan sangat terbatas. Tiada cadangan pengguna diterima. Tetapi deal breaker mudah adalah apabila mereka mengenakan syarat yang terlampau ketat untuk mengiklan. Banyak produk dan perkhidmatan tidak boleh iklan. Tidak masuk akal!

Semenjak itu ramai pengiklan terpaksa mencari portal-portal iklan lain untuk mengiklan produk dan perkhidmatan mereka. Mudah tidak membenarkan anda mempromosi banyak benda. Hanya boleh promosi iklan jual, beli, sewa dan kerja kosong. Tidak boleh iklankan laman web, blogshop, kedai facebook dan sebagainya. Sungguh mengarut sekali. Yang paling kelakar sekali adalah senarai produk dan perkhidmatan yang tidak dibenarkan. Saya akan berikan anda senarai hitam tersebut dalam artikel blog saya seterusnya.

Terima kasih kerana membaca. Sila kongsikan dengan klik butang sosial dibawah. Tunggu artikel terbaru saya akan keluar sekejap lagi.

Comments Off

Kenapa Perlu Daftar Akaun Iklan

| Info Iklan | 03/05/2013

daftar-akaun-iklan

Kenapa anda perlu daftar akaun untuk mengiklan? Memang kebanyakkan laman portal iklan meminta anda mendaftar dahulu untuk mengiklan. Tetapi trend terbaru sekarang adalah mengiklan tanpa mendaftar. Kenapa ramai pengguna tidak mahu mendaftar? Mungkin kerana malas mengisi borang berkali-kali ataupun risau tuan punya portal iklan akan spam atau jual maklumat akaun mereka.

Zaman sekarang ini spam emel sudah kurang kita dengar. Kenapa? Kerana server dan aplikasi emel berjaya menyekat emel-emel spam ini. Jika anda menerima spam emel, dengan satu klik sahaja emel tersebut akan masuk dalam tong sampah spam dan penghantar akan di flag sebagai spammer. Mengikut algoritma tertentu syarikat pembekal emel seperti gmail, cukup sahaja berapa orang klik butang spam habis alamat penghantar akan di senarai hitam. Pengguna juga sudah bijak menilai emel yang diterima sebagai spam. Tidak perlu baca, tengok tajuk je dah padam atau klik butang spam.

Jadi kenapa perlu takut untuk daftar akaun percuma? Banyak kelebihan yang anda dapat apabila mendaftar akaun percuma. Antaranya adalah:

Laman Profil

Laman profil ini sangat penting untuk SEO. Robot carian internet akan masuk laman profil awam anda ini mengikut carian terma tertentu dan menyenaraikan laman profil anda. Ia juga akan menjelajahi kesemua pautan hotlink, jadi jangan lupa senaraikan pautan alamat web anda yang lain seperti facebook, google+, twitter, blog dan lain-lain.

Kedai Internet

Jika sebelum ini anda tiada tapak di alam maya tetapi jika anda mendaftar akaun iklan percuma anda telah dapat satu premis di alam maya dengan percuma. Kebanyakkan portal iklan internet memberi anda satu alamat unik ke akaun anda seperti contoh berikut:

http://www.iklanlahpercuma.com/author/username

Jika anda ada 10 ataupun 20 akaun dilaman portal iklan, anda boleh sambungan satu ke lain menggunakan pautan hotlink. Bukan sahaja mudah untuk robot carian internet menjelajah dan mengindex kedai-kedai internet anda ini, malah pengunjung boleh melihat kesemua kedai internet anda.

Senarai Iklan

Apabila anda mendaftar akaun iklan percuma, anda diberikan halaman pengarang ataupun author dan juga dash board ataupun papan pemuka. Kesemua iklan anda akan tersenarai disini. Jika servis portal iklan memberi masa 1 bulan, 3 bulan ataupun setahun, kesemua iklan anda akan disimpan disana. Bayangkan selama 365 hari dalam setahun kesemua iklan anda disenaraikan dan boleh dikecapi oleh pengunjung.

Cuba bayangkan seorang pengunjung terserempak dengan iklan anda samada melalui pautan SEO di carian google ataupun dalam portal iklan itu sendiri. Jika iklan anda itu tidak perlu daftar, tiada tag author ataupun username yang menyambungkan antara satu iklan dengan iklan anda yang lain.Betapa ruginya anda.

Tetapi dengan mendaftar, apabila pengunjung laman portal iklan klik username anda, akan terpampang kesemua senarai iklan anda yang lain. Segala penat lelah anda memuat naik dan menyenaraikan iklan satu persatu akan mendapat pulangan kerana peluang anda menunjukkan kesemua iklan anda lebih cerah dan jelas.

Kemaskini Iklan

Apa jadi kepada iklan anda selepas anda hantar? Terus tetap tidak boleh diubah jika anda tidak mendaftar. Tetapi dengan mendaftar, anda dapat mengemaskini maklumat iklan seperti menukar jenama produk, menambah testimoni pelanggan, menukar harga dan menambah cara pelanggan menghubungi anda.

Cuba bayangkan jika iklan anda kekal di laman portal iklan tertentu selama 1-3 bulan tanpa boleh ubah. Bagaimana jika maklumat produk atau perkhidmatan salah, anda tukar nombor telefon, pautan hotlink salah dan sebagainya. Rugi sungguh anda sudah hilang berapa banyak sales lead ataupun peluang menukar pegunjung menjadi pelanggan anda.

Yang paling sakit hati jika anda hendak jual kereta lah katakan, saya beri contoh ya. Dalam sehari dua sudah ada pembeli. Tetapi anda masih akan menerima panggilan telefon dan emel daripada pengunjung siang dan malam mengganggu kehidupan anda. Kereta sudah jual tetapi masih orang telefon. Macam mana ni? Takkan nak kena tukar nombor telefon kot. Kan lebih baik jika anda boleh login ke akaun iklan anda dan padam iklan ataupun tukar status iklan kepada sudah jual.

Daftar Dengan Akaun Sosial

Teknologi canggih terbaru adalah kemampuan laman portal iklan menggunakan servis laman sosial untuk mendaftar dan login. Laman-laman sosial ini telah mula memberikan satu API ataupun akses sekuriti khas ke sistem dan pengkalan data mereka untuk anda mendaftar akaun dan login ke laman iklan tersebut. Ia sungguh mudah dan selamat.

Jadi anda tidak perlu mengingati setiap nama pengguna dan kata laluan laman portal iklan yang anda daftar. Anda hanya perlu ingat nama pengguna dan kata laluan laman sosial sahaja.

Daftar Dengan Akaun Google dan Yahoo

Bagaimana pula jika anda tiada akaun laman sosial seperti facebook dan twitter. Anda boleh juga daftar dan login dengan menggunakan akaun google ataupun yahoo sahaja. Ya, google dan yahoo juga membuka API kepada laman-laman jaringan web supaya pengguna tidak perlu mengingati kesemua nama pengguna dan kata laluan laman. Anda boleh mendaftar dan login laman portal iklan dengan hanya ingat satu alamat emel dan kata laluan tersebut sahaja.

Password Manager

Paling busuk adalah anda boleh menggunakan password manager pelayar seperti Firefox, Chrome dan IE. Anda cuma perlu memasang satu master password untuk menjadikan kesemua kata laluan anda selamat dalam cakera keras komputer. Senang bukan, jadi anda tidak perlu ingat kesemua akaun dan password anda.

Internet Marketer

Tahukah anda apabila syarikat atau orang perseorangan membayar seorang internet marketer untuk servis SEOnya, antara tugas beliau adalah untuk menghasilkan sebanyak mungkin laman profil untuk pengiklan. Kenapa? Kerana pautan hotlink di laman profil memberikan backlinks kepada laman web sebenar dengan link juice untuk menaikkan rating laman web sebenar pengiklan. Kebiasaannya laman portal iklan dapat membantu dalam hal ini.

Kesimpulan

Oleh itu janganlah kerana malas atau nak jimat seminit dua untuk mengisi borang mendaftar akaun iklan percuma, anda telah melepaskan peluang untuk mendapat kesemua kebaikan dan kelebihan yang orang lain sanggup bayar untuk mendapatkannya.

Terima kasih kerana membaca artikel ini. Sila kongsikan dengan klik butang sosial dibawah dan jemput datang lagi.

Page 1 of 21 2

Entri Blog Terbaru

Iklan Premium

renew road tax online

Rakan Facebook

Rakan Google+

Pengikut NetworkedBlogs

Alexa Rank

renew road tax online